|
Persembahan sebarang tulisan ilmiah, sama ada tesis, laporan, kertas kerja atau esei, adalah mengikut tatacara yang telah ditentukan. Para pelajar perlu mematuhi tatacara tersebut bagi menghasilkan kerja yang kemas dan konsisten.
1. Gunakan kertas bersaiz A4.
2. Esei hendaklah bertaip dengan selang dua baris
3. Margin yang telah ditentukan adalah seperti berikut:
Margin kiri : 3 ½cm
Margin Kanan : 2 cm
Margin atas : 3 cm
Margin bawah : 3 cm
4. Rujukan
Anda akan sentiasa mengambil fakta dari sumber-sumber rujukan anda dan memasukkannya ke dalam teks. Dengan itu, tuliskan dalam kurungan nama pengaran, tahun serta muka surat setiap sumber rujukan dari mana fakta itu diambil.
Contoh:
.....dan migrasi konservatif ialah pergerakan dalam ruang yang telah sedia ada atau ke ruang status yang lebih rendah (Pryor, 1972: 65-66).
.....Ini bermakna rakyat Melayu merupakan kumpulan etnik yang paling sedikit sekali diurbanisasikan, dengan mana dua pertiga dari mereka tinggal di luar bandar (Malaysia, 1986: 149 - 154).
5. Petikan
Jika anda mengambil keseluruhan isi petikan dari satu-satu sumber, anda
hendaklah menuliskannya di perenggan yang baru dengan margin yang lebih
kecil, dalam pembuka dan penutup kata “...................”.
Sekiranya petikan bersumberkan buku berbahasa Inggeris, ia mestilah diterjemahkan.
Contoh Teks
Bandar tradisi (Medina di Timur Tengah) menggambarkan berbagai prakolonial. Penerangan Breese tentang Delhi mungkin menunjukkan satu gambaran tentang rupa bentuk bandar sedemikian (Breese, 1966, dalam Friedmann dan Wulff, 1986: 52).
“Umumnya, ‘Bandar Lama’ bergaris pusat sebatu atau kurang walalupun ia mengandungi sebahagian besar penduduk. Asalnya bandar-bandar lama seperti Delhi dikelilingi oleh tembok yang ditembusi oleh beberapa pintu pagar....”
(Contoh petikan di atas adalah petikan yang diterjemahkan dari sumber berbahasa Inggeris).
Perhatian:
Perhatikan perbezaan cara menulis sumber antara bahagian 4 dengan bahagian 5.
1. Sekiranya fakta diambil adalah fakta asli dalam sumber tersebut, (bukan dari sumber lain) tuliskan terus nama pengarang, tahun dan muka surat (contoh bahagian 4).
2. Sekiranya fakta diambil dari sesuatu sumber yang telah memetik dari sumber lain, tuliskan pengarang sumber asal dan tahun dalam pengarang, tahun dan muka surat sumber yang sebenarnya anda gunakan.
Contoh bahagian 5 (Breese, 1966, dalam Friedmann dan Wulff, 1986: 52) menunjukkan sumber sebenar anda ialah tulisan Friedmann dan Wulff, tetapi mereka telah memetik dari buku Breese. Di dalam bibliografi, hanya sumber sebenar (Friedmann dan Wulff) sahaja disertakan.
6. Nota Akhir
Penggunaan nota kaki tidak digalakkan. Sekiranya teks anda memerlukan
penjelasan penting, masukkan ke dalam nota akhir. Nota akhir diperlukan
sekiranya anda mendapati ada perkara yang perlu diterangkan lebih lanjut,
tetapi tidak sesuai untuk dimasukkan ke dalam teks. Tuliskan
nombor rujukan (1, 2, 3....) di sudut atas kanan ayat/perkataan yang ingin
anda terangkan. Kesemua nota keterangan tersebut hendaklah ditulis
dalam muka surat yang baru dan diletakkan selepas muka surat akhir teks
anda. Senaraikan nombor rujukan serta keterangannya satu persatu.
Contoh Teks:
....................Banyak istilah lain yang telah digunakan di beberapa
negara dan oleh beberapa
profesion, seperti “dasar pengagihan penduduk”, strategi pertubuhan
bandar nasional”, “dasar wilayah”, atau “dasar pembangunan komuniti”1.
..............Di antara tahun 1970 hingga tahun 2000, penduduk bandar di dunia dijangka akan bertambah daripada 1.3 rubu juta hingga 3.3 ribu juta. 2
Contoh Nota Akhir:
Nota Akhir
1. Birokrasi dan organisasi berskala besar lazimnya akan mengakibatkan dasar-dasar berkaitan disalurkan ke bahagian-bahagian yang kurang sesuai berdasarkan kepada label-label seperti ini.
2. Seperti yang digunakan di dalam buku ini, ribu juta bersamaan dengan ‘billion”.
7. Jadual, Rajah dan Peta
Jadual, rajah dan peta hendaklah dimasukkan ke dalam teks, di
mana sesuai. Ia mestilah dijelaskan dan mempunyai kaitan dengan perkara
yang sedang anda bincangkan.
Sumber dari mana jadual, rajah dan peta diperolehi hendaklah
disertakan di bawahnya.
Sumber yang digunakan untuk jadual, rajah dan peta mestilah juga
dimasukkan ke dalam bibliografi.
Perhatian:
1. Bagi Jadual, tajuk hendaklah diletakkan di bahagian atas. Bagi Rajah dan Peta, tajuk diletakkan di bahagian bawah.
2. Contoh Jadual di bawah menunjukkan ia telah diambil dari sumber Usman, 1989 tetapi beliau telah memetik dari sumber Bangsa-bangsa Bersatu. Di dalam Bibliografi, hanya sumber Usman sahaja perlu disertakan.
3. Contoh Rajah dan Peta menunjukkan sumber diambil dari Haupt, A dan
T.T. Kane, dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa. Kedua-dua
sumber ini mestilah disertakan di dalam Bibliografi.
Contoh Jadual:
Jadual 2.7: Ciri-ciri Demografi Negara maju dan Negara
Membangun bagi Tahun 1980-2000
---------------------------------------------------------------------------------
Sumber: Bangsa-bagsa bersatu (1977). The Population Prospects
as Assessed in 1973, New York, dalam Usman, 1989: 33.
8. Lampiran
Jika terdapat maklumat-maklumat lain berupa peta, gambarajah, jadual atau soal selidik yang tidak sesuai disertakan di dalam teks tetapi perlu untuk menyokong tulisan anda, masukkan ke dalam Lampiran.
Beri judul lampiran anda (Lampiran 1, Lampiran 2....) dan letakkan selepas Nota Akhir, sebelum Bibliografi.
9. Bibliografi
Kesemua bahan-bahan rujukan dari mana segala fakta, petikan, jadual, gambarajah dan peta diambil hendaklah disenaraikan di dalam BIBLIOGRAFI di akhir teks anda (selepas Nota Akhir dan Lampiran-lampiran) mengikut susunan abjad.
Bagi pengarang selain bangsa Melayu dan Cina, nama akhir hendaklah didahulukan.
Contoh: R.J. Chorley (nama sebenar) ditulis Chorley, R.J.
Bagi pengarang bernama Melayu atau Cina, kekalkan nama asal dengan menambah koma.
Contoh: Katiman Rostam kepada Katiman, Rostam.
Lee Boon Thong kepada Lee, Boon Thong
Peraturan ini juga hendaklah dipatuhi sewaktu anda menuliskan sumber rujukan di dalam teks. Perlu diingat, hanya nama akhir sahaja (bagi pengarang bukan Melayu atau China) disertakan dan sebaliknya.
Contoh:.......................... (Pryor, 1972; 65-66)
.......................... (Katiman, 1982: 5).
.......................... (Lee, 1987: 154)
Perlu diperhatikan cara menulis bibliografi untuk buku, buku yang disunting, jurnal dan laporan-laporan adalah berbeza-beza.
Perhatian perlu diberikan kepada kedudukan tanda noktah dan koma semasa menulis bibliografi.
Contoh buku:
Chorley, R.J. dan Kennedy, B.A. (1971). Physical Geography; A System Approach. Prentice Hall, London.
Gregory, K.J. dan Walling, D.E. (1988). Manusia dan Proses Persekitaran (Terjemahan). Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Usman, Haji Yaakob (1989). Prinsip Kajian Kependudukan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Buku yang disunting:
Douglass, M. (1989). “The Future of Cities on the Pacific Rim”. Dalam Michael Peter Smith (Penyunting). Pacific Rim Cities in the World Economy. Transaction Publishers, London, 9 - 67.
Jurnal
Chi, Seck Choo (1976. “A General Review of the Industrial Estate Programme in Developing Countries”. Dalam Geographica, Volume II. Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 4 - 46.
Katiman, Rostam (1982). “Pola dan Strategi Pembangunan Bandar di Semenanjung Malaysia: Satu Ulasan”. Dalam Ilmu Alam, Jilid II. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1 - 23.
Laporan
Jabatan Perancang Bandar dan Desa (1972a). The Jengka Regional Centre. (Laporan yang disediakan untuk Pengerusi Perbadanan Kemajuan Jengka), Kuala Lumpur.
-------------------------------------------- (1972b). Kampung LBJ Land Development Scheme. Kuala Lumpur.
Haupt, A. dan Kane, T.T. (1978). Population Handbook. Population Reference Bureau.
Malaysia (1976). Rancangan Malaysia Ketiga 1976 - 1980. Percetakan Kerajaan, Kuala Lumpur
---------------------(1986), Rancangan Malaysia Kelima 1986-1990, Percetakan Kerajaan, Kuala Lumpur.
Akhbar/Majalah
Bowring, Philip (1976). “No Time for Socialism”. Dalam Far Eastern Economic Review, 6 Ogos.
Suriati, Ghazali (1989). “Generasi Kedua Felda: Tanggapan dan Harapan”. Dalam Berita Harian, 18 Mei.
Peringatan:
1. Jangan pisahkan bibliografi mengikut buku, buku yang disunting, jurnal, laporan, akhbar dan majalah. Sebaliknya senaraikan semuanya sekaligus mengikut susunan abjad.
2. Jika terdapat sumber yang dihasilkan oleh pengarang yang sama pada tahun yang sama, tuliskan tahun a, tahun b dan seterusnya. Contoh di atas menunjukkan terdapat dua sumber dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa pada tahun yang sama (1972a) dan 1972b).
3. Jika berlaku pengulangan pengarang, gariskan bahagian nama pengarang bagi pengulangan kedua dan seterusnya.
Contoh:
Malaysia (1976). Rancangan Malaysia .........................
----------- (1986). Rancangan Malaysia..........................
SEKIAN.
disediakan oleh Puan Suriati Ghazali
dengan kerjasama Pensyarah-pensyarah Geografi.